KUALA LUMPUR: Kesejahteraan pekerja perlu dilihat sebagai standard baharu dalam persekitaran kerja moden, bukan lagi sekadar nilai tambahan.

Ketua Pegawai Eksekutif WORQ, Stephanie Ping berkata, konsep itu diterjemahkan menerusi WORQ Well yang menggabungkan elemen produktiviti, komuniti dan kesejahteraan dalam satu ekosistem ruang kerja.

Katanya, inisiatif berkenaan diperkenalkan bukan sahaja untuk syarikat besar, malah bagi membolehkan syarikat kecil, usahawan dan pekerja bebas turut mendapat akses kepada persekitaran kerja berkualiti.

“Kita mahu meningkatkan standard kesejahteraan pekerja di negara ini. Jika tiada yang memulakan standard ini, industri tidak akan bergerak.

“Matlamat kami bukan sekadar menawarkan ruang kerja, tetapi mewujudkan ekosistem yang membantu pekerja lebih sihat, gembira dan produktif,” katanya pada program WORQ Well Media & Creators Experience Day di WORQ Well, KL Eco City, di sini, semalam.

Selain itu, konsep berkenaan turut disokong fasiliti seperti kolam renang, sauna, bilik terapi, napping pods serta aktiviti komuniti dan pembangunan kemahiran yang menjadi sebahagian pengalaman tempat kerja.

Menurutnya, pendekatan itu selari perubahan landskap pekerjaan yang kini memberi penekanan kepada keseimbangan hidup dan persaingan mendapatkan bakat berkualiti.

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Kewangan WORQ, Andrew Yeow berkata, produktiviti dan kesejahteraan tidak seharusnya dilihat sebagai dua perkara yang bertentangan.

“Model kerja masa kini perlu menyesuaikan pekerjaan dengan kehidupan pekerja, bukan sebaliknya.

“Kita mahu kerja menyesuaikan diri dengan kehidupan, bukan kehidupan tunduk sepenuhnya kepada kerja.

“Apabila pekerja ada pilihan, fleksibiliti dan persekitaran lebih sihat, produktiviti juga akan meningkat secara lebih mampan,” katanya. – UTUSAN

Antara kemudahan yang disediakan di cawangan premium WORQ Well ini termasuk kolam renang, napping pod, bilik game dan servis urut.

WORQ Well Cawangan Premium Pertama, Boleh Tempatkan 500 Pekerja Dalam Satu Masa

Terletak di Mercu Aspire, KL Eco City, WORQ Well dengan keluasan 34,300 kaki persegi menjadi cawangan pertamanya yang menyediakan ruang people-first coworking.

Dalam kenyataannya, WORQ Well yang boleh memuatkan 500 pengunjung dalam satu masa telah mencapai full house walaupun sebelum dibuka secara rasmi.

“Kami sangat teruja untuk membuka WORQ Well pertama kami, mengumpulkan pengalaman di tempat kerja yang luar biasa dengan persekitaran yang mengutamakan orang ramai.

“Ini adalah projek kami yang terbesar setakat ini, direka untuk perniagaan menarik perhatian dan mendapatkan bakat terbaik, serta menggalakkan prestasi organisasi yang lebih bagus,” kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif WORQ, Stephanie Ping.

Ruang Coworking Pertama Dalam Negara Terima Anugerah WELL Coworking Rating

WORQ Well yang direka bagi menyokong keselesaan fizikal, fokus mental dan keseluruhan wellbeing menjadi ruang coworking pertama di Malaysia yang menerima anugerah WELL Coworking Rating.

Seperti rata-rata cawangannya yang lain, WORQ Well juga terletak berhampiran stesen LRT, sekali gus memudahkan orang ramai untuk mengunjunginya tanpa perlu bersesak dalam kesesakan lalu lintas

Menurutnya, data menunjukkan ahli WORQ yang menggunakan pengangkutan awam telah meningkat dari 20% pada 2017 hingga 50% hari ini.

“Selain menjadikan kerja fleksibel lebih mudah diakses oleh syarikat, perubahan ini turut menyumbang kepada agenda ESG negara dengan mengurangkan tekanan perjalanan, menyokong produktiviti pekerja dan mengurangkan kebergantungan terhadap kereta,” katanya.

As featured on Utusan Malaysia and The Rakyat Post